NASIONALRENCANA

Perang sisa plastik dunia, ke mana arah tuju Malaysia?

 

KUALA LUMPUR, 10 Jun : Kemasukan sisa plastik dunia yang mencemari Malaysia merupakan isu yang tidak boleh dipandang enteng.

Sepanjang tahun lepas dilaporkan Malaysia mengimport 157,299 tan sampah plastik, meningkat 273 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bahkan pada tahun ini beberapa lokasi pelupusan sisa plastik didakwa diwujudkan secara haram ditemui termasuk di Ipoh, Perak; Sungai Petani, Kedah; Jenjarum, Selangor, selain lebih 60 kontena di Pelabuhan Barat, Selangor ditemui mengandungi sisa plastik yang dipercayai diseludup dan ditinggalkan pengimport tempatan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin baru-baru ini berkata kesemua 60 kontena terbabit mengandungi 3,000 metrik sisa plastik akan dihantar kembali ke negara asal di samping mengisytiharkan perang terhadap penyeludupan sisa plastik tercemar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akhir tahun lepas dilapor berkata perniagaan pemprosesan sampah plastik merupakan industri RM30 billion setahun yang tidak boleh diabaikan negara.

Justeru, ke mana hala tuju negara dalam isu ini?

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail berkata sekiranya kerajaan secara serius mahu menceburi dalam industri pemprosesan sisa plastik, ia perlu dilaksanakan dengan cermat, kerana negara ketika ini menduduki tempat kelapan dunia dalam pencemaran laut akibat sisa plastik.

Pensyarah Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia itu berkata bahan kimia dihasilkan daripada sisa plastik itu jelas mencemari udara, air dan biota tanah, selain pembakarannya memberi risiko pencemaran kepada susu ibu.

“Penghasilan etil diphenyl polybrominated ether (PBDE) dan bahan anti kebakaran yang banyak terdapat pada set televisyen dan komputer boleh mengubah hormon seks mengurangkan kesuburan dan membantutkan perkembangan ovari jika terdedah kepadanya secara berpanjangan,” katanya kepada Bernama.

Mengorak langkah ke hadapan, katanya dengan kos tinggi dan kawasan terhad, teknologi baharu dalam pelupusan sampah perlu diperkenalkan kerajaan, termasuk teknologi rawatan secara mekanikal dan biologi (MBT), seperti Jerman dan Belanda, malah China kini sedang beralih kepada penggunaan teknologi sama.

Sementara itu, Presiden EcoKnights Yasmin Rasyid berpendapat pengimportan sisa plastik yang tercemar sepatutnya diharamkan dan menegaskan dalam hal ini kerajaan perlu melindungi rakyat dan mengawal pihak korporat, bukannya mengawal rakyat dan melindungi pihak korporat.

“Perspektif keuntungan memfokuskan hanya kepada keuntungan ekonomi dalam sektor-sektor tertentu tanpa menghiraukan bahaya kepada orang ramai dan alam sekitar. Kita perlukan perubahan cara memperoleh keuntungan,” katanya.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Wemi Kalsuna Katerun, berdasarkan statistik terkini, hanya ada 62 syarikat yang diluluskan AP, berbanding 314 syarikat sebelum kerajaan menetapkan syarat yang lebih ketat bagi pemberian AP 26 Okt lepas.

Katanya terdapat 26 kategori plastik yang dibenarkan untuk diimport dan hanya satu jenis plastik iaitu skrap plastik atau sisa plastik yang memerlukan AP di bawah HS Code 3915, namun, kebanyakan pengimport melabelkannya di bawah kod lain yang membolehkannya diimport tanpa permit.

Mengulas lanjut, aktivis Persatuan Aktivis Sahabat Alam Shakila Zain berkata industri pelupusan sampah negara masih belum mampu menampung sisa domestik dari segi kos dan juga keluasan tapak pelupusan, apatah lagi untuk mengambil alih tugas menguruskan sisa dari luar.

“Pada 2017, tapak pelupusan sampah telah berkurang daripada 289 kepada 113 sahaja dan angka ini membimbangkan kerana tiada alternatif dicadangkan untuk melupuskan sampah. Untuk rekod, tiada penambahan tapak kitar semula juga.

“Kita bukan negara zero carbon seperti Bhutan dan sebagainya sehingga mampu untuk mengambil alih tanggungjawab untuk mengurangkan bilangan sampah atau karbon daripada negara lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Sekitar Malaysia Datuk Abdul Malek Yusof berkata sekiranya kerajaan mahu secara serius menceburi dalam bidang pemprosesan sisa sampah plastik, mereka wajib menyediakan prosedur operasi standard dan penguatkuasaan yang ketat.

“Kalau diproses dengan cara betul dan diimport dengan mengikut kehendak industri tiada masalahnya. Masalahnya sampah-sampah yang diimport daripada negara luar sebahagiannya adalah bukan untuk dikitar semula, hanya di atas kertas untuk kitar semula, walhal dibuang di tempat pelupusan haram,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :