BERITA UTAMASELANGOR

Perangi operasi kilang plastik haram di Klang

 

OLEH AFIX REDZUAN

PELABUHAN KLANG, 3 JUN: Kerajaan Negeri komited untuk menutup operasi kilang memproses sisa kitar semula import di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang meresahkan penduduk mengenai isu pencemaran dan kesihatan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pihaknya berpendirian tegas untuk tidak membenarkan sebarang operasi kilang memproses sisa plastik haram di Selangor.

“Daripada pengalaman kita, sekiranya kita mahu pastikan kilang seperti ini ditutup daripada beroperasi setelah diberikan notis, kaedah terbaik adalah memotong bekalan air dan elektrik.

“Saya akan berjumpa dengan Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk memotong bekalan selepas menerima aduan atau permohonan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Operasi Bersepadu Kilang Plastik Haram di Kawasan Perindustrian Telok Gong, Klang.

Katanya, setakat ini terdapat 41 buah kilang memproses sisa kitar semula plastik haram di kawasan pentadbiran MPK dengan 10 daripadanya sudah disita.

Sze Han menjelaskan, setakat ini beberapa kilang sudah berjaya ditutup di PBT lain seperti Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan hari ini terhadap beberapa kilang sudah disita mendapati, terdapat longgokan sisa plastik dengan pencemaran bau busuk.

Wakil Syarikat Bekalan Air Selangor (Air Selangor) yang turut sama menyertai operasi ini melakukan kerja-kerja memotong bekalan air sebagai usaha menghalang kilang meneruskan operasi.

Selain itu, terdapat kilang yang mencuri bekalan air dari sumber luar walaupun sudah diberikan notis penutupan operasi.

Mengulas perkara sama, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, usaha menangani operasi kilang ini akan diteruskan selaras dengan sasaran sifar kilang sisa plastik haram menjelang Julai 2019.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh membawa isu ini ke mahkamah sekiranya pengusaha di dapati bersalah dan melanggar akta sedia ada.

“Kebanyakkan kilang ini beroperasi pada waktu malam mengakibatkan bunyi bising mengganggu penduduk setempat selain pencemaran bau plastik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri ketika ditemui mengucapkan terima kasih di atas kesudian EXCO turun padang bagi melihat sendiri keadaan kilang haram yang mengganggu keselesaan penduduk dan berharap operasi seperti ini diteruskan dengan lebih kerap.

 


Pengarang :