NASIONAL

Perbelanjaan pelancongan domestik catat RM92.6 bilion

PUTRAJAYA, 28 JUN: Pelancongan domestik merekodkan jumlah perbelanjaan RM92.6 bilion pada 2018, meningkat 11.4 peratus berbanding RM83.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian iaitu masing-masing merekodkan perbelanjaan sebanyak RM60.41 bilion dan RM32.15 bilion.

“Membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan oleh pelawat domestik untuk perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung laporan survei pelancongan domestik 2018.

Menurut Mohd Uzir, bilangan pelawat domestik meningkat kepada 221.3 juta pada tahun 2018 dengan pertumbuhan sebanyak 7.7 peratus.

“Dari segi volum jumlah perjalanan, pelawat domestik telah melakukan sejumlah 302.4 juta perjalanan di dalam negara di mana 40.6 peratus dari keseluruhan perjalanan adalah bagi tujuan melawat saudara-mara dan rakan,” katanya.

Beliau berkata trend itu adalah selari dengan budaya penduduk Malaysia yang pulang ke kampung pada musim perayaan.

Mohd Uzir berkata Selangor adalah negeri paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik pada 2018 iaitu seramai 30.2 juta, diikuti Sabah (20.4 juta), Sarawak (19.4 juta), Kuala Lumpur (19.2 juta) dan Pahang (18.1 juta). – BERNAMA


Pengarang :