NASIONAL

Permohonan pinjaman SRC tidak dibentang kepada kabinet

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu permohonan pinjaman jangka pendek oleh SRC International Sdn Bhd kepada Kementerian Kewangan tidak dibentang kepada kabinet.

Perkara itu didedahkan Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, semasa disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada hari ke-29 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Sithambaram: Daripada dokumen yang ada, kabinet tidak tahu mengenai permohonan pinjaman RM250 juta dan RM300 juta kerana ia tidak dibawa ke perhatian Kabinet?

Afidah Azwa: Betul.

Sithambaram: Jika “event of default” diisytihar, kerajaan harus bayar semua faedah prinsipal?

Afidah Azwa: Betul.

“Event of default” bermaksud apabila terdapat kejadian yang membolehkan pemberi pinjam mengisytiharkan “default” dan akibatnya, perjanjian pembiayaan ditamatkan dan dengan itu, pemberi pinjam berhak menuntut bayaran penuh atau jumlah yang dijamin daripada penjamin.

Sithambaram: Pinjaman RM100 juta oleh SRC perlu dibawa ke perhatian kabinet untuk diluluskan oleh Kementerian Kewangan? Saksi menjawab: “Ya, tapi ia tidak dibawa ke kabinet.

Semalam, mahkamah diberitahu SRC mengemukakan permohonan pinjaman sebanyak RM642 juta kepada Kementerian Kewangan untuk membayar faedah bagi hutang RM4 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Saksi ke-40 pendakwaan, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan Tan Sri Mazidah Abdul Majid, yang menyambung keterangan hari ini berkata Najib tidak pernah meninggalkan mesyuarat Memorandum Jemaah Menteri pada 2011 dan 2012, yang ketika itu membincangkan cadangan supaya kerajaan memberikan surat jaminan kepada SRC bagi pinjaman daripada KWAP berjumlah RM4 bilion.

Sementara itu, bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin, berkata kesemua saham syarikat tersebut telah dipindah milik daripada 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) melalui pindahan syer dalam satu borang yang ditandatangani Nik Faisal.

Suboh, 68, yang kini pesara, ketika membacakan penyataan saksi mengesahkan bahawa SRC ada membuka akaun dengan AmIslamic Bank berdasarkan keputusan ‘Directors’ Circular Resolution bertarikh 23 Ogos 2011, di mana beliau menandatangani dokumen itu.

“Saya juga ada menurunkan tandatangan saya atas borang pembukaan akaun bank yang dibekalkan Ambank. Borang pembukaan berkenaan menunjukkan nombor akaun yang diberikan sebagai 211-202-201065-0 atas nama SRC International Sdn Bhd.

“Selain tandangan saya, terdapat juga tandatangan semua ahli Lembaga Pengarah SRC yang lain iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Datuk Che Abdullah@Rashidi dan Nik Faisal Ariff Kamil,” kata beliau yang turut mengesahkan dokumen yang dirujuk kepadanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Suboh berkata SRC kemudian membuat permohonan kepada KWAP untuk pembiayaan sebanyak RM4 bilion.

“Tujuan permohonan pembiayaan itu ialah untuk ‘working capital and general investment SRC’ (modal kerja dan pelaburan am SRC) iaitu untuk tindakan pelaburan di luar negara.

“Terdapat dua permohonan yang dibuat secara berasingan, iaitu untuk jumlah RM2 bilion pada 2011 dan RM2 bilion pada 2012,” katanya yang sebelum ini berkhidmat dengan pelbagai jabatan kerajaan di bawah skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak tahun 1974 sebelum bersara wajib pada 11 Jan 2009.

Menyentuh permohonan pertama membabitkan pinjaman RM2 bilion pada 2011, Suboh yang juga saksi ke-42 pendakwaan, berkata perkara itu dbincang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah SRC pada 23 Ogos 2011 yang dibentang oleh Nik Faisal.

Suboh, yang dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif SRC pada 1 Ogos 2011 oleh Najib, yang ketika itu Perdana Menteri, berkata surat lantikannya telah ditandatangani Najib.

“Kesemua bekas ahli-ahli Lembaga Pengarah SRC terdiri daripada Tan Sri Ismee Ismail selaku pengerusi, dan ahli-ahli lain terdiri daripada Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Datuk Che Abdullah@Rashidi dan Nik Faisal Ariff Kamil turut dilantik oleh bekas perdana menteri dan bertindak di bawah nasihatnya selaku “Advisor Emeritus” kepada SRC,” katanya.

Disoal Ishak adakah saksi itu ingat bila Najib dilantik sebagai “Advisor Emeritus” SRC, Suboh menjawab, “tidak ingat.”

Terdahulu, sebelum Suboh yang memakai kot warna gelap dan bertongkat, mengangkat sumpah untuk memberi keterangan, Ishak sempat berseloroh supaya saksi itu menjaga tongkatnya dengan baik.

“Datuk jaga tongkat baik-baik… takut Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan jadikan tongkat itu sebagai eksibit,” kata Ishak menyebabkan pihak media dan orang awam yang berada dalam mahkamah ketawa.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. –  BERNAMA


Pengarang :