Perpustakaan bergerak Smart Selangor.
SELANGOR

Perpustaan bergerak PPAS dekatkan remaja dengan buku

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 30 JUN: Perpustakaan Bergerak Perbadanan Perpusataan Awam Selangor (PPAS) di program Jelajah 360 Smart Selangor mampu mendekatkan remaja dengan budaya membaca.

Penyanyi remaja meningkat naik, Maisarah atau juga dikenali sebagai Maisarah Ukulele, 18, berkata, ini kerana program ini memberi akses kepada remaja kepada pelbagai genre buku yang menarik perhatian mereka.

“Saya difahamkan terdapat kira-kira 1,500 buku yang terdapat dalam perpustakaan bergerak ini di mana ini memberi pelbagai pilihan kepada remaja.

“Remaja, khususnya di program jelajah yang diadakan di kawasan luar bandar sebelum ini, mereka berpeluang bukan sahaja membaca buku pilihan mereka tetapi mengetahui informasi berkaitan perkhidmatan PPAS di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada program Jelajah 360 Smart Selangor di Stadium Kajang di sini, hari ini.

Maisarah berkata, budaya membaca di kalangan remaja haruslah dipupuk oleh ibu bapa di rumah lagi.

“Ibu bapa hari ini lebih gemar membiasakan anak dengan peranti mudah alih seperti telefon bimbit yang menyebabkan anak terbabit cenderung dengan penggunaan internet dan media sosial.

“Sedangkan sepatutnya lebih baik jika mereka mendekatkan anak dengan buku-buku,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Korporat PPAS, Meor Muhammad Fawaz Mior Latif, berkata, sehingga kini PPAS berjaya memperolehi lebih 600 keahlian baru yang mendaftar di kaunter pemdaftaran PPAS.

“Sejak jelajah ini diadakan buat kali pertama, sambutan semakin baik dengan ramai mendaftar sebagai ahli di kaunter kami,” katanya.


Pengarang :