NASIONAL

Pesara ATM boleh jadi penyumbang Revolusi Industri 4.0

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BULOH, 27 JUN: Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih muda mampu menjadi sebahagian tenaga mahir dan menyumbang kepada perkembangan Revolusi Industri 4.0 negara, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menurutnya, langkah itu boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing kerana pengalaman dan kepakaran tinggi pesara tentera dalam pelbagai bidang boleh dimanfaatkan.

“Saya melihat peranan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) amat relevan bersandarkan kepada pencapaian setakat ini.

“Tahun lalu, 67.6% pelatih PERHEBAT mendapat pekerjaan dan menjadi usahawan selepas enam bulan tamat pengajian.

“Ia bersamaan dengan 1,014 orang daripada jumlah keseluruhan 1,500 pelatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Istiadat Konvokesyen PERHEBAT ke-54 di Dewan Besar, Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh.

Menurutnya, Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan PERHEBAT bagi menawarkan program-program latihan dan penempatan pekerjaan khusus seperti bidang aeroangkasa untuk veteran tentera serta keluarga di negeri ini.

Amirudin berkata, perkara itu akan diteliti bagi membolehkan mereka memanfaatkan pengalaman dan menambah ilmu bagi menempuh fasa kedua kerjaya selepas persaraan.

“Antara nilai tambah PERHEBAT boleh menawarkan latihan dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk mereka yang menamatkan karier dalam bidang angkatan tentera memasuki bidang aerorangkasa.

“Ia akan dirangka dalam Belanjawan 2020 kerana kita perlu aturkan dengan PERHEBAT dan beberapa agensi lain setakat ini.

“Kerajaan Negeri juga amat memerlukan sokongan padu daripada syarikat swasta yang beroperasi di Selangor untuk memberi perhatian khusus dengan menawarkan pekerjaan kepada veteran ATM dan keluarga,” katanya.


Pengarang :