Lembaga Tabung Haji kaji keperluan penstrukturan bayaran haji bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah.
NASIONAL

Petugas Tabung Haji mula tiba di Makkah dan Madinah

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Kumpulan seramai 151 lagi petugas Tabung Haji (TH) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 27 Jun lalu.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kumpulan kedua itu adalah petugas awal yang tiba bagi membuat persiapan menyambut ketibaan jemaah haji kira-kira seminggu lagi.

Sebelum ini, kumpulan pertama petugas terdiri daripada 13 orang tiba pada 23 Jun lalu.

“Mereka adalah sebahagian dari 640 orang petugas yang akan menyantuni jemaah haji negara pada musim haji kali ini. Kumpulan petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama jemaah haji bermula 4 Julai ini.

“Para petugas haji yang tiba dengan berpakaian ihram ini telah menunaikan umrah sebelum bergerak ke sektor masing-masing di Makkah dan Madinah pada hari Jumaat, 28 Jun,” menurut kenyataan itu.

Suasana di Makkah dan Madinah masih lengang kerana jemaah haji dari seluruh dunia hanya akan mula memasuki Makkah dan Madinah secara berperingkat bermula 1 Zulkaedah atau 4 Julai ini.

Cuaca pada musim haji tahun ini dijangka panas dengan suhu terkini sudah mencecah 32 hingga 47 darjah Celsius dan ia merupakan salah satu cabaran bagi 30,200 Jemaah Haji Malaysia sepanjang mengerjakan haji, menurut kenyataan itu lagi.

TH menyediakan sebanyak 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos 2019. Hari wuquf dijangka pada 9 Zulhijjah bersamaan 10 Ogos ini.

-BERNAMA


Pengarang :