PUTRAJAYA, 4 Jun — Persiapan akhir kini rancak dijalankan bagi menerima kunjungan orang ramai sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama anggota jemaah menteri pada Hari Raya pertama di Kompleks Seri Perdana. Majlis bermula daripada 10 pagi hingga 4.30 petang dan dijangka seramai 50,000 orang pengunjung akan menghadiri rumah terbuka ini. Untuk kemudahan orang ramai, perkhidmatan bas percuma disediakan dari tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Kompleks Seri Perdana. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Petugas tekun siapkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Seri Perdana esok

PUTRAJAYA, 4 JUN: Para petugas dan anggota keselamatan yang terlibat dengan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan berlangsung esok, kelihatan giat melakukan persiapan terakhir bagi memastikan acara itu berjalan lancar.

Buat pertama kalinya, orang ramai dapat bersalaman dengan Dr Mahathir dan anggota jemaah menteri di dalam kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Presint 10.

Tahun lepas, orang ramai hanya dapat beramah mesra di Laman Sari, perkarangan Seri Perdana. Namun, tahun ini persiapan untuk khemah makan dan laluan masuk untuk pengunjung dilihat lebih selesa dan teratur.

Ini adalah kali kedua Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan Pakatan Harapan selepas Dr Mahathir mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar Seri Perdana, kelihatan pegawai bahagian istiadat di Jabatan Perdana Menteri, petugas katering, Alam Flora, dekorasi serta anggota keselamatan, sibuk dengan persiapan masing-masing.

Lebih 10 katering disediakan untuk menghidangkan pelbagai juadah makanan dan minuman kepada 50,000 pengunjung yang dijangka hadir esok, bermula dari 10 pagi sehingga 4.30 petang.

Juga kelihatan beberapa lori katering, Alam Flora dan pembekal kuih raya di perkarangan Seri Perdana sibuk dengan persiapan seperti peralatan, tong sampah serta aneka makanan ringan untuk dijamu kepada pengunjung.

Antara juadah yang disediakan ialah lemang, rendang, nasi beriani, kuey teow goreng, rojak, murtabak, aneka kuih raya, satay, laksa dan sebagainya.

Pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan bas percuma ke majlis tersebut yang disediakan bermula jam 9.30 pagi di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit.

– BERNAMA

 


Pengarang :