NASIONAL

PGA tahan lelaki Myanmar, rampas 13 peluru hidup

ALOR SETAR, 11 JUN: Sepasukan anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki Myanmar kerana memiliki 13 butir peluru hidup jenis 12 bore di sebuah kawasan kebun getah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, pada malam Ahad lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Supt Khalid Saion berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada 8.40 malam oleh anggota berkenaan yang terserempak dengannya dalam keadaan mencurigakan.

Katanya sebaik ditahan, pasukan yang membuat pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kita menjalankan pemeriksaan lanjut dan menemui 13 butir peluru hidup jenis 12 bore tanpa jenama di dalam beg sandang miliknya menyebabkan dia ditahan untuk siasatan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Khalid berkata siasatan awal mendapati lelaki yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu itu dipercayai sedang menunggu kumpulan lain di dalam kebun getah itu untuk menyusup masuk negara ini.

“Kita juga masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuklah tujuan peluru itu dibawa dan tujuan apa ia digunakan,“ katanya.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Khalid berkata ini antara kejayaan pasukannya selepas mengambil tugas menjalankan kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Wawasan Kedah/Perlis sejak 1 Jun lepas.

“Kita turut bertanggungjawab membuat kawalan keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis serta Kota Putra di Padang Terap,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :