NASIONAL

PH Sarawak mahu sambutan Hari Malaysia diadakan di Kuching

KUCHING, 8 Jun : Pakatan Harapan (PH) Sarawak akan mencadangkan kepada Kabinet Persekutuan agar sambutan Hari Malaysia, yang jatuh pada 16 Sept ini, diadakan di negeri ini, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata dengan mengadakan sambutan peringkat kebangsaan di sini juga dilihat seiring dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) dan kepentingan diletakkan kepada pelaksanaannya.

“Ini signifikan sebagai simbol hari berkenaan, 16 Sept, sebagai sambutan peridngkat kebangsaan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sambutan peringkat kebangsaan yang pertama oleh Kerajaan PH diadakan di Sabah pada tahun lepas, melibatkan seluruh kabinet,” katanya pada persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sarawak di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, yang juga Menteri Kerja Raya; pengerusi Amanah Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi dan pengarah operasi Bersatu Sarawak, Zakaria Bujang.

Chong, yang juga pengerusi DAP Sarawak, berkata PH negeri pada mesyuarat hari ini sebulat suara membuat keputusan untuk mencadangkan perkara itu kepada Kabinet.

Pada sambutan Hari Malaysia pada tahun lepas di Kota Kinabalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama adalah selaras dengan MA63, yang kemudian melihat beliau membentangkan Pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan pada 9 April.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu, yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat, gagal mendapatkan sokongan dua pertiga majoriti, terutama dari Anggota Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Chong berkata, anggota Jawatankuasa Pemandu Kabinet bagi MA63 pada pertemuan 17 Mei lepas dan bersama-sama Jawatankuasa Kerja bagi MA63 dan enam lagi kumpulan kelompok sedang berusaha ke arah pelaksanaan MA63. -BERNAMA


Pengarang :