Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
SUKANKINI

Piala Dunia 2034 : KBS akan bertemu Duta Besar China

KUALA LUMPUR, 27 Jun : Susulan hasrat negara anggota ASEAN untuk membida Piala Dunia 2034, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia berjumpa Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian, selepas negara itu dilaporkan turut berminat membida bagi edisi 2030.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata matlamat utama pertemuan itu adalah bagi mengetahui pendirian sebenar China, yang difahamkan masih belum mengumumkan secara rasmi mengenai perkara tersebut.

Menurut Syed Saddiq, kerajaan Malaysia ketika ini berpegang teguh mahu membida kejohanan berprestij dunia itu bersama negara ASEAN lain.

“Kita faham jika China menang pada bidaan 2030, bermakna kita perlu menunggu minimum sehingga 2038. Tetapi kita akan cuba yang terbaik dan pada masa sama perlu berhubung dengan China bagi mengetahui hasrat sebenar mereka kerana saya dengar mereka belum lagi mengemukakan permohonan.

“Bagi Malaysia, kita telah bermula. PM (perdana menteri) dan Yang di-Pertuan Agong telah memberi persetujuan. Semalam dalam mesyuarat kabinet (PM) mengarahkan kementerian saya bertemu Duta Besar China bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) antara Majlis Sukan Negara (MSN), Kool Sport, Asia Pacific Sports, dan Regent International School di MSN di sini, hari ini.

Syed Saddiq, bagaimanapun menjelaskan wakil negara ASEAN yang akan mengetuai rundingan bersama China masih belum dimuktamadkan.

“Tunggulah perbincangan, kita kena adakan perbincangan dahulu sebelum melantik diri sendiri atau orang lain jadi ketua delegasi,” katanya.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), badan induk itu tidak akan membenarkan benua yang sama menganjurkan Piala Dunia untuk tempoh dua edisi berturut-turut.

Mengulas mengenai cabaran bakal dihadapi Malaysia dalam membenarkan atlet dan pegawai Israel memasuki negara ini andai mereka layak beraksi pada Piala Dunia, beliau menjelaskan perkara itu akan dibincangkan dengan fokus ketika ini adalah menumpukan kepada usaha untuk membida kejohanan berprestij berkenaan.

“Seperti yang saya nyatakan, pendirian kerajaan adalah kita bersetuju kepada penganjuran dan akan bekerjasama dengan rakan ASEAN bagi memastikan kita berjaya dalam bidaan itu,” katanya.

Ahad lepas, kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju membangunkan usaha bersama bagi membida penganjuran Piala Dunia 2034

Idea berkenaan dicadangkan pemimpin negara anggota sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Bangkok Thailand. -BERNAMA


Pengarang :