SELANGOR

Pindah ke fidlot tangani isu lembu berkeliaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SERDANG, 22 JUN: Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tepat untuk memindahkan hampir 5,000 ekor lembu ternakan membabitkan 82 penternak di Selangor dari penempatan asal ke ladang khas fidlot secara berperingkat mulai tahun ini.

EXCO Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, pelaksanaan untuk tempoh empat tahun itu sebagai langkah membendung masalah lembu berkeliaran yang mengundang kacau ganggu penempatan penduduk.

“Sebuah penempatan khas dijangka siap pada Ogos ini di Olak Lempit, Banting di mana membabitkan 25 penternak yang akan masuk ke ladang penternakan berkenaan, manakala selebihnya dibuat secara berperingkat.

“Kita juga akan mengenal pasti beberapa daerah dan tanah yang ada untuk membangunkan infrastruktur ini termasuk menyediakan seluas 2.02 hektar (5 ekar) tanah bagi setiap penternak.

“Selepas empat tahun, kita tidak akan membenarkan lagi mana-mana lembu penternak yang merayau,” katanya ketika ditemui pada Seminar Keusahawanan Penternakan Untuk Masyarakat India, di Auditorium Jurutera Raden Umar, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Penternak dan Agro Selangor Berhad, Ravindran Nadesan; Pakar Tenusu, Dr Vijaya Jayam dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar.

Mengulas lanjut, Ir Izham berkata, pendekatan tradisional dalam sektor penternakan lembu sudah tidak relevan pada masa kini, sebaliknya aspek baharu yang lebih moden perlu diguna pakai bagi meningkatkan pulangan pendapatan penternak.

“Tanah di Selangor agak terhad dan mahal, jadi konsep pembangunan serta ternakan perlu dilihat daripada aspek lebih moden.

“Walaupun rumit, kita perlu ada penyelesaian kerana sekiranya tidak diatasi ia mungkin akan berterusan dalam tempoh lebih lama, selain mengambil kira usaha penternak di tanah berkenaan,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :