NASIONAL

PKR tolak politik keji dan jijik – Anwar

PETALING JAYA, 12 Jun : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak sebarang bentuk permainan politik jijik dan keji yang dilemparkan terhadap Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara ketika ini sepatutnya lebih menumpukan kepada isu pembangunan ekonomi dan sosial dan tidak terheret dalam kancah politik yang hina.

“Mesyuarat (hari ini) bagi mencari konsensus. Tidak ada pertelagahan kerana dari awal lagi parti ini, dan saya percaya rakan kita dalam Pakatan Harapan (PH), juga menolak politik keji yang disebut ‘gutter politics’ terhadap sesiapa sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR di sini hari ini.

“Ini bukan perkara baru, kita hanya bincang agak panjang hari ini bagi mencapai sepakat bagaimana harus kenyataan dibuat, bagaimana kita mahu tangani dan melihat fakta dari segi undang-undang supaya kita tidak menjejaskan siasatan yang dilaksanakan,” jelasnya.

Anwar berkata PKR menyokong penuh siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada Mohamed Azmin dan berharap proses itu dilakukan dengan adil dan teliti.

Tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, serta tuduhan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat disalurkan ke akaun milik menteri itu.

Anwar juga berkata tiada perubahan tentang kedudukan Mohamed Azmin dalam PKR.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berharap Mohamed Azmin dan keluarga tabah menghadapi dugaan yang dialaminya ketika ini.

“Dalam perbualan telefon semalam, Mohamed Azmin minta maaf sebab tidak hadir mesyuarat hari ini kerana ingin memberi ruang bagi perbincangan parti namun memberikan beberapa pandangan yang saya dapat sampaikan hari ini,” katanya.

Menjawab satu pertanyaan, Anwar berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai sebarang bukti apa yang berlaku itu didalangi anggota parti.

Kepada pertanyaan lain, beliau berkata buat masa ini tiada tindakan akan diambil terhadap anggota PKR, Muhammad Haziq Abdul Aziz yang mendakwa dirinya merupakan individu dalam video lucah berkenaan.

“Kita buat keputusan ini dulu. Kita akan bersidang dalam masa singkat. Hari ini belum ada keputusan kerana kita kaji ada implikasi lain dan tidak mahu ganggu perkara tersebut,” kata Anwar. -BERNAMA


Pengarang :