NASIONAL

PM diyakini dengar kritikan, nilai prestasi Latheefa

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diyakini akan mendengar pandangan dan kritikan terhadap keputusannya melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beliau yakin Dr Mahathir akan memantau dan menilai prestasi Latheefa dari masa ke semasa dan jika pencapainya tidak memenuhi hasrat pengkritik, maka beliau percaya pelantikan berkenaan akan dinilai semula.

“Saya berkeyakinan penuh Perdana Menteri mengambil perhatian tentang cara pelantikan dan menjadikan kritikan serta pandangan itu sebagai satu ujian kepada kewibawaan Latheefa untuk menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun berkuasa kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa, yang memulakan tugas hari pertama, hari ini, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020. – BERNAMA


Pengarang :