NASIONAL

PM: Jawatankuasa Parlimen tidak berfungsi mengikut undang-undang

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 11 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Jawatankuasa Khas Parlimen Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (PSC) tidak berfungsi secara sah mengikut undang-undang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu meminda perlembagaan dan ia memerlukan dua pertiga majoriti di Parlimen jika mahu PSC diberi kuasa muktlak.

“Kita tidak mempunyai PSC (secara sah), memang kita mahu adakan PSC tetapi kita perlu meminda perlembagaan dan memerlukan dua pertiga majoriti (Parlimen).

“PSC yang sedia ada dilantik melalui pelantikan awam, tetapi tidak boleh berfungsi secara sah mengikut undang-undang, jadi segala keputusan dibuat oleh Perdana Menteri, orang lain hanya boleh beri pandangan yang buat keputusan adalah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Pejabat Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-3 Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak perlu merujuk kabinet untuk membuat keputusan termasuklah memilih mana-mana individu dalam pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam.

“Saya tidak memerlukan nasihat kabinet, saya boleh meminta pandangan orang ramai, tetapi saya buat keputusan berdasarkan merit,” katanya.

Isu bidang kuasa PSC dibangkitkan susulan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri dikatakan tidak merujuk jawatankuasa itu.

PSC dijadualkan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :