Selangorkini
NASIONAL

PM: Malaysia sedia muktamadkan RCEP tanpa India

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Malaysia bersedia memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif (RCEP) tanpa India ‘buat masa ini’.

Bercakap pada temu bual CNBC dengan Tanvir Gill hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata peserta RCEP perlu menimbang rangka kerja yang terbaik – perjanjian 13 negara yang dicadangkan China atau rangka kerja asal yang melibatkan semua 16 negara.

“Saya fikir kita perlu memikirkan angka yang terbaik, dan saya lebih suka 13, buat masa ini,” katanya yang menunjukkan beliau bersikap terbuka untuk mendapatkan India, Australia dan New Zealand menyertai pakatan itu pada masa depan.

RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Dr Mahathir yakin RCEP akan dapat dimuktamadkan, dengan negara peserta perlu mengambil kira kebolehan masing-masing untuk meraih manfaat daripada keputusan yang mereka persetujui.

“Saya fikir kami akan berusaha untuk menjayakannya. Ia sukar kerana kita merupakan ekonomi yang bersaing. Kita semua dalam ruang yang sama dan bersaing antara satu sama lain, dan untuk bekerja bersama-sama memerlukan perubahan minda yang radikal,” katanya.

RCEP yang meliputi 16 negara, dengan penduduk seramai 3.4 bilion, mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) bernilai US$49.5 trilion atau 39 peratus daripada KDNK global.

Perjanjian perdagangan bebas itu dilancarkan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja. – BERNAMA


Pengarang :