GUA MUSANG, 15 Jun — Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin ketika sidang media harian mengenai kematian 14 Orang Asli suku Batek disebabkan wabak misteri di Ladang Aring 10, Taman Negara Kuala Koh hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Polis bawa keluar satu lagi mayat Orang Asli

GUA MUSANG, 15 JUN: Polis hari ini membawa keluar satu lagi mayat Orang Asli suku Batek yang ditanda pada Rabu lepas untuk menjalani bedah siasat di Hospital Gua Musang, kira-kira 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata mayat tersebut dikenali sebagai Mek Nab a/p Tebu, 63, dan didakwa meninggal pada 2 Mei lalu.

“Pada hari ini, tiga pasukan yang ditugaskan untuk mengeluarkan mayat yang telah ditanda pada Rabu lepas namun hanya satu pasukan berjaya dalam misi mereka kerana kita mengalami kesukaran berikutan hujan pada malam tadi, menyebabkan bot dua kumpulan pencari tidak dapat diturunkan ke sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Aring 10 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai operasi mengesan empat mayat yang disemadikan di Hulu Sungai Lebir, Mohd Taufik berkata dua pasukan yang ditugaskan telah berjaya mengenal pasti kawasan terbabit.

“Jarak dua mayat pertama terletak kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot dan satu jam berjalan kaki manakala dua lagi mayat disemadikan kira-kira dua jam 15 minit menaiki bot dan satu jam berjalan kaki.

“Keempat-empat mayat dipercayai dikenali sebagai Puspa a/p Li, 5; Amir a/l Li, setahun; Haikal a/l Rahim, 22, dan Farah a/p Rahim, 20,” katanya.

Beliau berkata kesemua mayat akan dikeluarkan secara berperingkat-peringkat namun turut mengambil kira pelbagai faktor semasa.

Masyarakat Orang Asli suku Batek yang tinggal di Kampung Kuala Koh di sini, mula menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Namun hasil bedah siasat terhadap dua mayat sebelum ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru (pneumonia).

-BERNAMA


Pengarang :