NASIONAL

Polis selamatkan mangsa culik dalam tempoh kurang 24 jam

GEORGE TOWN, 9 Jun : Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga Syria dalam tempoh kurang 24 jam yang menjadi mangsa diculik rakan-rakan senegaranya pada Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata abang kepada mangsa membuat laporan polis pada 5.30 petang bahawa adiknya yang berumur dalam 20an telah diculik sekumpulan lelaki di sebuah restoran di kawasan Tanjung Tokong.

Menurutnya, kumpulan suspek yang menculik mangsa juga merupakan warga Syria dan mereka telah menghubungi keluarga mangsa untuk meminta wang tebusan.

“Suspek minta wang tebusan RM100,000 yang perlu dimasukkan ke dalam akaun bank milik seorang warga tempatan dan pembayaran harus dibuat dalam tempoh dua jam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, sejurus menerima laporan, polis telah memulakan siasatan untuk mengesan suspek dan operasi polis telah mendatang hasil di mana sebuah kereta Proton Persona yang mencuriga telah ditahan polis di sebuah restoran makanan segera di Batu Ferringhi.

“Pasukan polis telah menahan tiga individu, dua orang lelaki warga Syria berumur 30 hingga 50 tahun dan seorang wanita tempatan berumur 30an di dalam kenderaan tersebut pada jam 9 malam.

“Mangsa juga berjaya ditemui dalam keadaan tangan diikat dengan pita pelekat di dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati salah seorang suspek warga Syria dan wanita tempatan itu didapati positif dadah dan kesemua suspek akan direman sehingga 13 Jun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Perculikan 1961.

Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek dan kesemua rakyat Syria itu merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), katanya.

Dalam perkembangan lain, Huzir ingin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian samun barangan kemas di Seberang Perai Tengah pada Isnin lepas untuk tampil membuat laporan di Balai Polis berhampiran.

“Polis sedang menjalankan siasatan ke atas kejadian samun yang melibatkan barang kemas RM1 juta dan bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat harus disalurkan kepada Inspektor Alagesh melalui nombor 014-6389195 atau 04-2221522 untuk membantu menyelesaikan kes tersebut,” katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada 10.30 pagi, Isnin lepas di Jalan Hadapan Rumah Pam, Jabatan Pengairan dan Saliran, sebuah kereta jenis BMW dinaiki sekumpulan suspek yang memakai topeng muka memberhentikan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang dpandu oleh dua pekerja syarikat pengedar emas sebelum melarikan lima kilogram emas yang disimpan di belakang bonet kenderaan itu. -BERNAMA


Pengarang :