NASIONAL

Polis sukar kenal pasti mayat wanita dibunuh kekasih

JOHOR BAHRU, 12 JUN: Proses pengecaman terhadap mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam kotak di tepi jalan Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Setia Indah, di sini, dua hari lepas, sukar dilaksanakan kerana keadaan dan pakaian mangsa sudah mereput.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, bagaimanapun polis sudah melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat wanita dipercayai dibunuh kekasihnya itu bagi mengesahkan mangsa adalah ‘Orang Yang Dilaporkan Hilang’ (OH), pada Jumaat lalu.

“Buat masa ini, pihak polis menggunakan keterangan suspek yang mengesahkan si mati adalah OH sehingga keputusan DNA diperoleh secepat mungkin,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan berhubung kes itu kini direman seminggu mulai semalam hingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, wanita berumur 33 tahun itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Sri Putri, Skudai, di sini, pada 28 Mei lalu, namun kemudian gagal dihubungi oleh pihak keluarganya, keesokannya.

Keluarganya kemudian membuat satu laporan polis pada Jumaat yang akhirnya membawa kepada penahanan dua lelaki berumur 30-an dengan seorang daripadanya merupakan kekasih wanita terbabit yang dipercayai membunuh mangsa antara 29 Mei dan 4 Jun lalu akibat cemburu.

-BERNAMA


Pengarang :