NASIONAL

Polis tahan warga Brunei miliki dadah RM24,000

MIRI, 30 JUN: Polis menahan seorang lelaki warga Brunei bersama dadah seberat 64.32 gram bernilai RM24,000 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, Kuala Baram lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan pada 11.40 malam oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri yang menahan kereta yang dipandu suspek di CIQ berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Toyota Land Cruiser Prado dengan nombor pendaftaran Brunei menjumpai 200 pil berwarna biru, merah, hijau dan kuning dipercayai dadah jenis Methyl​enedioxy methamphetamine (MDMA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, pil itu dibungkus dalam empat paket plastik lutsinar kecil dengan setiap paket mengandungi 50 pil mengikut empat warna terbabit.

Katanya, pasport suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu turut dirampas polis dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA


Pengarang :