SHAH ALAM, 18 Jun — Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tengah) menyaksikan penyerahan replika kunci daripada Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resourse Corporation Berhad (MRCB), Datuk Dell Akbar Khan (dua, kanan) kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan Kenderaan oleh MRCB George Kent Sdn Bhd kepada Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. Sebanyak 20 buah motosikal dan empat buah kenderaan pacuan empat roda diserahkan pada majlis itu. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Polis tidak tolak panggil anggota PKR ambil keterangan

SHAH ALAM, 18 JUN: Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil mana-mana individu termasuk anggota PKR, untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penularan video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata bagaimanapun ia bergantung kepada siasatan polis dalam mencari dalang penyebaran video seks tersebut.

“Tidak kira sesiapa pun, kami akan panggil sekiranya ada keperluan bagi kami melengkapkan siasatan kes termasuk juga anggota PKR.

“Kami ada tempoh tertentu untuk siapkan siasatan, jadi kami akan ikut tempoh itu…bila-bila kami nak panggil, kami akan panggil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kenderaan oleh Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) kepada Polis Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dan Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akhbar Khan.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Mohamed Azmin dalam laporan media pagi tadi, bahawa anggota PKR sendiri yang menjadi dalang penyebaran video seks tersebut.

Mengulas lanjut, pihaknya turut mengesahkan Mohamed Azmin telah diambil keterangan berhubung kes video itu, semalam.

“Ya, beliau telah diambil keterangan, tetapi saya tidak boleh dedahkan apa maklumat yang diberikan kerana itu merupakan siasatan polis.

“Kami juga boleh memanggil Mohamed Azmin untuk kali kedua (untuk diambil keterangan), sekiranya kami memerlukan maklumat tambahan untuk kes ini,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam kes video terbabit dan menyifatkan penyebaran video berkenaan merupakan niat jahat untuk merosakkan imej dan prestasinya dalam politik.

Sementara itu, Mazlan mengesahkan 10 orang nelayan yang dilaporkan diculik berhampiran perairan Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah awal pagi, diculik ketika perintah berkurung dilaksanakan di kawasan itu.

Beliau berkata kejadian pada 2.45 pagi itu juga berlaku ketika kumpulan nelayan tersebut sedang menangkap ikan di kawasan berkenaan menggunakan dua bot.

“Ketika kejadian ada seramai 16 nelayan di dalam dua bot, mereka kemudian didatangi dua bot yang kami percaya kumpulan penculik.

“Kumpulan itu hanya menculik 10 orang nelayan iaitu enam orang daripada sebuah bot dan empat (nelayan) daripada bot satu lagi,” katanya.

Katanya, setakat ini juga tiada sebarang panggilan diterima daripada kumpulan penculik berkenaan.

Terdahulu dalam majlis tersebut, MRCB menyerahkan sumbangan empat kenderaan pacuan empat roda dan 20 motosikal, 250 cc.

Kenderaan tersebut akan digunakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor bagi tujuan membuat kawalan lalu lintas di sekitar Projek Transit Aliran Ringan 3 ( LRT3). – BERNAMA


Pengarang :