NASIONAL

Polis tumpas geng pecah tabika

 

KEPALA BATAS, 4 Jun : Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pecah tabika dan rumah dikenali sebagai “Geng Tabika” selepas menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing dalam operasi pencegahan jenayah minggu lepas.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kejayaan itu adalah hasil Ops Cantas sepasukan polis dari cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kepala Batas pada 29 Mei lepas yang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun di kawasan Bakar Kapor, Penaga.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada tiga lagi rakan suspek termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang mana ketiga-tiga mereka bertindak sebagai pembeli barang-barang curi.

“Hasil soal siasat, keempat-empat suspek mengaku terlibat dalam kes pecah tabika dan pecah rumah di sekitar kawasan Kepala Batas dan Teluk Ayer Tawar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata suspek menggunakan sebuah stor di Penaga untuk menyimpan barang curi.

Noorzainy berkata polis turut merampas beberapa televisyen LCD pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Proton Saga, radio jenama Panasonic, beg bimbit dan dua buah komputer riba dengan anggaran nilai rampasan melebih RM5,000.

Beliau percaya dengan tangkapan itu, polis telah menyelesaikan tiga kes pecah tabika dan rumah di sekitar Kepala Batas dan kesemua suspek telah direman tujuh hari bermula 31 Mei lepas.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Noorzainy berkata semasa melakukan Ops Khas Aidilfitri di kawasan Butterworth semalam, sepasukan polis menahan seorang lelaki yang memegang sebilah parang dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu mendapati suspek memiliki serbuk berwarna putih disyaki dadah dan dia telah dibawa ke Balai Polis Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat awal terhadap lelaki yang berusia 39 tahun dari Butterworth itu, polis telah berjaya merampas sebilah parang, 16 paket kecil lutsinar berisi dadah heroin, 10 paket kecil plastik lutsinar yang mengandungi syabu, dua telefon bimbit, seutas jam tangan dan sebuah motosikal dengan nilai rampasan berjumlah RM11,000,” katanya.

Menurutnya, suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah dan dadah akan direman tujuh hari bermula dari tarikh tangkap. -BERNAMA

Kredit Foto Facebook IPD Seberang Perai Utara


Pengarang :