NASIONAL

Polis tumpas sindiket pengedaran dadah tempatan

 

KEPALA BATAS, 4 Jun : Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seberang Perai Utara (SPU) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas dadah jenis Eramin 5 dan syabu yang bernilai RM12,500.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi di kawasan Butterworth dan Mak Mandin pada 1 pagi hingga 3 pagi semalam, polis telah menahan dua lelaki berumur 36 dan 37 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengedaran untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, hasil soal siasat, polis juga berjaya merampas 610 biji pil Eramin 5 dan 17.8 gram syabu termasuk harta hasil pengedaran dadah.

“Anggaran dadah yang dirampas itu bernilai RM12,500 dan polis juga menyita sebuah motosikal dan wang tunai RM1,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, polis percaya dadah yang dirampas itu adalah untuk pengedaran pasaran tempatan.

Katanya, kedua-dua suspek akan direman hingga 9 Mei untuk membantu siasatan lanjut.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, Noorzainy berkata polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengedar dadah jenis heroin.

Katanya, dalam serbuan awal pagi tadi di kawasan Mak Mandin, polis telah menahan lelaki yang berusia 40 tahun itu dan merampas 16 gram dadah jenis heroin.

“Anggaran nilai rampasan dadah adalah berjumlah RM800 dan suspek akan direman hingga 10 Mei sebelum dituduh di mahkamah,” katanya. -BERNAMA

 

Kredit Foto Facebook IPD Seberang Perai Utara


Pengarang :