NASIONAL

PPM rampas rokok seludup dari Filipina di Lahad Datu

LAHAD DATU, 27 Jun : Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu merampas 7,850 bungkus rokok seludup pelbagai jenama dipercayai dibawa masuk dari Filipina dalam serbuan di Kampung Desa Bajau di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata rokok itu ditemui dalam longgokan plastik hitam dengan nilai rokok yang lari dari cukai itu berjumlah RM16,750.

“Sebelum kejadian, sepasukan Unit Risikan Marin (URM) menjalankan tugas risikan ternampak sekumpulan lelaki mencurigakan di satu kawasan tersembunyi di kampung berkenaan pada 8.30 malam.

“Apabila anggota menghampiri kumpulan itu, kesemua mereka melarikan diri dan hilang di kawasan sekitar kampung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, kesemua barang rampasan itu dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967. -BERNAMA


Pengarang :