NASIONALSUKANKINI

Presiden FAM menghadap Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 27 Jun : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin di Istana Negara, hari ini.

FAM dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook persatuan, memaklumkan antara perkara yang dibincangkan adalah perkembangan Peta Hala Tuju F:30 yang dilancarkan 31 Okt tahun lepas dan perancangan membina ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan yang lengkap di Putrajaya.

Pada pertemuan itu, Hamidin turut berkongsi dengan Seri Paduka mengenai persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia 2023, September.

Selain itu, turut dipersembahkan kepada Sultan Abdullah adalah mengenai projek pemain naturalisasi yang merupakan antara usaha jangka pendek, sederhana dan panjang FAM dalam melonjak standard skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program pembangunan sedia ada.

Presiden FAM juga memohon pandangan Sultan Abdullah mengenai perancangan FAM memandangkan baginda berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa termasuk menggalas tugas selaku Presiden FAM dari 2014 hingga 2017. -BERNAMA

 

Foto Ihsan : Persatuan Bola Sepak Malaysia


Pengarang :