NASIONAL

Prof Dr Normah wanita kedua berpengaruh dalam kewangan Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUN: Pengarah Accounting Research Institute (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Normah Omar dinobatkan sebagai salah seorang wanita paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory.

UiTM dalam kenyataannya berkata, penganugerahan itu sekali gus mengiktiraf dedikasi dan kesungguhan Prof Normah dalam usaha memajukan kajian perlakuan jenayah dalam bidang kewangan Islam atau Islamic Financial Crimonology.

“Beliau adalah penyelidik perintis dalam bidang ‘Islamic Financial Criminology’ di mana sumbangan dan kesungguhan beliau berjaya mencapai aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam.

“Di bawah pimpinan beliau juga, ARI diberikan status Higher Institution Centre of Excellence (HICoE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sejak 2010 dan institut ini secara berterusan meletakkan penyelidikan dalam kewangan Islam sebagai fokus utama,” kata kenyataan itu.

Prof Normah disenaraikan di tempat kedua, selepas Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso. Anugerah itu diadakan dalam majlis perasmian 2nd WOMANi Gala Dinner and Awards Ceremony di JW Marriott Marquis Hotel, Dubai pada 17 Jun lalu.

Pada 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melantik Prof Normah sebagai wanita pertama untuk berada di dalam Program Pensijilan Pencegahan Rasuah.

Selain memegang beberapa jawatan penting di peringkat nasional, Prof Normah juga berjaya menaikkan taraf kedudukan usahawan wanita dengan membangunkan produk baharu Kewangan Islam.

Beliau juga selaku mentor dan pakar rujuk kepada ramai ahli akademik serta pemimpin yang berpengaruh.

Antara lain anugerah yang diterima Prof Normah ialah Game Changer of the Year oleh ACQ London dan Global Good Governance Award di Dubai selain The Advocacy of Islamic Financial Criminology Award di Kazakhstan.

“Jelas sekali Prof Normah adalah contoh terbaik bagi wanita dan kejayaan wajar ditempatkan dalam kedudukan sepuluh wanita paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam.

“Selaras dengan kepakarannya dalam bidang ini, Prof Normah telah banyak memberikan sumbangan dengan menjalin kerjasama dengan agensi dan badan kerajaan seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Institut Integriti, Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Association of Fraud Examiners, Association of Certified Anti-Money Laundering Specialists dan Association of Bankers Malaysia,” katanya.

 


Pengarang :