Program bertaraf antarabangsa bakal meriahkan Visit Johor 2020 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Program bertaraf antarabangsa bakal meriahkan Visit Johor 2020

 

BATU PAHAT, 2 Jun : Tourism Johor bakal memperkenalkan 20 destinasi terpilih dengan produk pelancongan masing-masing pada tahun hadapan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini bersempena dengan Visit Johor 2020.

Pengarah Tourism Johor Zihan Ismail berkata selain itu, 20 acara bertaraf domestik dan antarabangsa bakal dianjurkan, yang sekali gus menampilkan tema “2020”.


“Tourism Johor sedang merancang program yang akan kita laksanakan pada tahun hadapan sempena Visit Johor 2020.

“2020 macam tema kamilah. Tahun hadapan, kami rancang untuk perkenal 20 destinasi berserta produk pelancongan yang unik dan 20 program atau acara peringkat antarabangsa dan domestik,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Kesemuanya bakal diumumkan ketika pra-pelancaran logo dan maskot Visit Johor 2020 yang dijadualkan pada awal bulan Julai.

Menurut Zihan, pihaknya kini dalam proses memperincikan 20 destinasi terpilih dengan produk-produk di seluruh 10 daerah di negeri Johor.

“Kita akan tengok mana yang berpotensi untuk kita promosikan sempena tahun melawat Johor 2020. Kita sendiri banyak produk di Johor ini dan untuk memilih 20 sebagai keutamaan itu memang satu cabaran untuk pihak Tourism Johor,” katanya sambil menambah pemilihan juga dibantu oleh pejabat-pejabat daerah.

Berhubung 20 acara atau program itu, Zihan berkata ada diantaranya memang tersenarai dalam kalendar pelancongan negeri Johor yang meliputi acara sukan, pendidikan serta pelbagai acara lain.

“Kita juga bercadang untuk memperbesarkan lagi saiz penganjuran acara sedia ada selain memperkenalkan acara-acara baharu.

“Johor juga terkenal dengan pusat makanan yang pelbagai. Kita ada banyak sangat makanan warisan negeri Johor jadi akan ada satu acara untuk memperkenalkan makanan warisan kita,” katanya.

Pada tahun hadapan, Johor akan menjadi tumpuan bukan sahaja dengan Visit Johor 2020 tetapi juga bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia (Sukma).

Seiring dengan itu, kerajaan negeri telah meletakkan sasaran pelancong sebanyak 17.4 juta pada tahun hadapan.

Pada tahun lepas, seramai 15.84 juta pelancong berkunjung ke negeri ini dan pada tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan seramai 16.6 juta pelancong. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next