NASIONAL

Program Inkubator, cungkil potensi pengarah muda

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 JUN: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bakal memperkenalkan Program Inkubator bagi mencungkil bakat pengarah muda berpotensi menghasilkan filem.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, program itu dirangka bagi memberi peluang dan semangat kepada semua pembikin filem baharu untuk mengetengahkan lagi hasil karya inovatif mereka.

Katanya, sejumlah RM500,000 geran juga akan disediakan Finas kepada mereka yang berjaya menghasilkan filem menerusi Program Inkubator.

“Melalui Program Inkubator itu, kita akan melihat karya pembikin filem ini dan mereka juga perlu hadir atau mengikuti beberapa kursus serta kelas bagi menggarap bakat supaya dapat menghasilkan filem sehingga ke layar perak.

“Kita sudah meletakkan setengah juta geran kepada mereka yang berjaya dalam program ini dan berupaya untuk menghasilkan filem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas FiTA WAVE Short Film Awards 2019 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Ahmad Idham berkata, program itu sudah dirangka dan ia termasuk dalam dana kandungan digital tahun ini.

“Selepas ini kita akan berurusan terus dengan FiTA (Fakulti Filem, Teater dan Animasi) bagi mendapatkan data pelajar mereka yang berpotensi untuk menyertai program ini.

“Kelas akan bermula Julai depan dan sekiranya mereka lulus sepanjang program itu berlangsung, mereka akan dapat membawa hasil karya sehingga ke layar perak,” katanya.

Terdahulu, FiTA WAVE Short Film Awards 2019 adalah pertandingan filem pendek yang dianjurkan FiTA, UiTM, Jabatan Pengajian Tinggi (Kementerian Pendidikan) dan Yayasan Hasanah.

Pertandingan itu terbuka kepada semua penduduk Malaysia dan bukan Malaysia di negara ini, serta dibahagikan kepada tiga kategori antaranya sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta juga kategori terbuka (usia 18-35 tahun).

Menerusi bakat dimiliki anak muda itu, Finas bersetuju untuk bekerjasama membantu meluaskan lagi bakat mereka menerusi Program Inkubator terbabit.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :