SELANGOR

Promosi keunikan makanan Jawa Kuala Langat diperhebat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 26 JUN: Usaha mempromosikan keunikan makanan masyarakat Jawa terdapat di Kuala Langat akan terus diperhebat kepada orang ramai, khususnya pelancong luar negara pada masa akan datang.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, makanan Jawa menjadi salah satu identiti rencam masyarakat di daerah terbabit memandangkan majoritinya berketurunan Jawa.

“Kita menganjurkan satu pesta makanan Jawa pada April lalu yang diadakan di Kampung Endah, Morib dan sambutan cukup memberangsangkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung termasuk pelancong luar negara.

“Jika terdapat keperluan, kita akan terus mempromosikannya sebagai tanda apresiasi kepada sebahagian masyarakat Kuala Langat yang majoritinya berasal daripada keturunan Jawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Aidilfitri, Apresiasi Hasil dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah ‘Jom Bayar & Menang’ Cukai Tanah 2019, di Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Tengku Harun; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San.

Pada masa sama, Jusni berkata, majlis berkenaan mengetengahkan tema ‘Pesta Makanan Jawa’ bertujuan meraikan dan mempromosi beberapa jenis hidangan jawa kepada tetamu jemputan.

“Sebagai menghargai keberadaan mereka, kita mengambil konsep khusus makanan jawa dengan harapan supaya fokus kali ini dapat memberi peluang kepada mereka yang datang untuk merasai kepelbagaian makanan jawa dihidangkan.

“Antara yang dihidangkan adalah nasi ambeng, nasi keluban, sambal goreng Jawa, ubi rebus, sambal hijau, lempeng kelapa dan kari, tumtuman, lemper, lemet, bubur sum sum, emping melinjau serta pecal,” katanya.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan cempuling yang dibawa khas dari Perbadanan Adat Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor Sungai Lang Mukim Tanjung Dua Belas menerus lagu-lagu warisan asli Jawa.


Pengarang :