Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.
NASIONALPENDIDIKAN

PTPTN terima hampir 35,000 maklum balas menerusi konsultasi rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Jun : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima 34,469 maklum balas sepanjang tempoh empat minggu Konsultasi Rakyat berakhir 13 Jun lepas, kata Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata Konsultasi Rakyat memberi peluang kepada rakyat mempertimbangkan dan memberi pendapat mengenai mekanisme baharu bayaran balik serta langkah bagi menjamin kelangsungan PTPTN agar dapat meneruskan pembiayaan kepada pelajar pada masa hadapan.

“Proses Konsultasi Rakyat yang bersifat menyeluruh ini menyediakan maklumat latar belakang secara mendalam bagi menggalakkan maklum balas konstruktif serta berasaskan fakta.

“PTPTN juga memperluaskan skop agar pendapat boleh diperoleh bukan sahaja daripada peminjam, iaitu melibatkan pelbagai segmen rakyat yang mungkin tidak menyedari akan dipengaruhi keputusan dasar PTPTN terutamanya implikasi kewangan terhadap negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Mei lepas, PTPTN menjalankan Konsultasi Rakyat bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan perbadanan berusia 22 tahun itu.

Menurut Wan Saiful, maklum balas yang diterima sedang dikumpul dan dianalisis pasukan PTPTN termasuk Pasukan Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat sebelum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk dibentang kepada Kabinet bagi memulakan proses membuat keputusan.

“Terima kasih kepada rakyat negara ini yang membantu PTPTN mengorak langkah ke hadapan. Di era Malaysia Baru ini, penglibatan rakyat dalam proses penggubalan dasar merupakan langkah wajar,” katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan Konsultasi Rakyat sebagai bukti kesediaan rakyat untuk melihat kerajaan dan pembuat dasar mempraktikkan pendekatan inklusif melibatkan rakyat dalam proses membuat keputusan. -BERNAMA


Pengarang :