SUKANKINI

Quartararo pelumba Petronas Yamaha SRT di tempat kedua GP Catalan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Pendatang baharu dari Perancis, Fabio Quartararo menyumbangkan penyudah podium sulung buat pasukan MotoGPnya Petronas Yamaha SRT selepas pelumba berusia 20 tahun itu menduduki tempat kedua Grand Prix (GP) Catalan, Sepanyol, malam tadi.

Kejayaan hari itu, juga merupakan podium pertama dinaikinya sejak menyertai kelas premier itu, Mac lepas.

Ia sukar dipercayai tetapi kemenangan ini menjadi kenangan buat Quartararo selepas baharu 12 hari menjalani pembedahan di bahagian lengan bawahnya.

Quartararo mencatat masa 40 minit 33.835 saat untuk berada di belakang juara bertahan dunia dan pendahulu kejohanan semasa, Marc Marquez daripada paukan Repsol Honda (40:31.175s) sementara pelumba Mission Winnow Ducati, Danillo Petrucci dari Sepanyol di tempat ketiga dengan masa 40:35.712s.

Pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin mewakili pasukan Red Bull KTM Tech 3 yang bermula dari petak terakhir dan rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli, masing-masing gagal menamatkan perlumbaan.

Rakan sepasukan Marquez, Jorge Lorenzo yang gagal mengawal jenteranya semasa di selekoh ke-10 mengakibatkan dua pelumba dinamik Monster Energy Yamaha MotoGP, Valentino Rossi dan Maverick Vinales serta pelumba Itali Andrea Dovizioso mewakili Mission Minnow Ducati tidak dapat meneruskan perlumbaan dengan perlumbaan berbaki 23 pusingan lagi.

Dalam kelas Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing Jonas Folger dari Jerman mengakhiri perlumbaan di tempat ke-19 dengan masa 39:05.119s, sementara pelumba pasukan itu dalam kelas Moto3, Ayumu Sasaki dari Jepun dan John McPhee dari Britain, masing-masing di tempat kelapan dan ke-13. – BERNAMA

FOTO EHSAN: FACEBOOK FABIO QUARTARARO


Pengarang :