BERITA UTAMASELANGOR

Rai Aidilfitri eratkan silaturahim – Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor yang beragama Islam.

Baginda berharap, amal ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan diterima Allah SWT.

“Ambillah kesempatan cuti perayaan kali ini untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan keluarga dan juga masyarakat. Bagi mereka yang akan melakukan perjalananan jauh untuk menziarahi sanak saudara, Beta menasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah semasa memandu di jalan raya.

“Beta berdoa semoga kita semua mendapat keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri dimuat naik di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda juga sentiasa berdoa supaya Selangor yang dikasihi terus dipelihara Allah SWT sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, kehidupan rakyat yang harmoni serta dijauhi daripada malapetaka, bencana dan segala musibah tidak diingini.

 


Pengarang :