SELANGOR

Rakyat optimis Karnival Jelajah 360 Smart Selangor diteruskan

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 30 JUN: Rakyat di negeri ini optimis Karnival Jelajah 360 Smart Selangor anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dapat diteruskan pada masa akan datang.

Salah seorang pengunjung, Wan Harman Wan Nuh, 43, memuji penganjuran karnival berkenaan yang menghubungkan rakyat secara terus kepada perkhidmatan disediakan Kerajaan Negeri.

Katanya, orang awam yang masih kurang jelas berkenaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan faedah daripada skim terbabit boleh mendapatkan maklumat melalui karnival terbabit.

“Oleh itu, menerusi karnival jelajah sebegini, ia sedikit sebanyak dapat memberi maklumat atau menjawab persoalan rakyat seperti kami yang mungkin sebelum ini kurang jelas berkenaan inisiatif disediakan Kerajaan Negeri.

“Saya menyokong jika ia terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana karnival ini juga sebagai landasan rakyat bertemu pemimpin,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Rosnani Mamat, 37, berkata sejak mengetahui karnival itu menerusi Facebook, beliau sudah merancang mahu membawa keluarganya ke sini memandangkan ia berlangsung pada hari cuti sekolah.

“Saya rasa karnival ini bagus diadakan kerana selain diselitkan dengan unsur hiburan, ia juga memberi banyak maklumat kepada rakyat serta terdapat pebagai aktiviti menarik khusus buat kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu bertujuan menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri, sekali gus meningkatkan ‘service delivery’ Kerajaan Negeri.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada karnival terbabit antaranya pameran agensi Kerajaan Negeri, Motor Show, Soopa Doopa, Konsert Alami, Smart Busker Rakyat, Ceramah Kerjaya, Giveaway Smart Selangor, Pertandingan Bola Jaring dan Bola Keranjang serta Zumbathon.

Berdasarkan rekod, Jelajah 360 Smart Selangor sebelum ini sudah diadakan di Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu dan Sabak Bernam.


Pengarang :