Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
NASIONAL

Remaja menyamar jadi jemaah sebelum mencuri ditahan

KEMAMAN, 12 JUN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis kerana disyaki mencuri barangan berharga jemaah yang menunaikan solat subuh di sebuah masjid di sini, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan polis dan maklumat orang awam, suspek berjaya ditahan dalam tempoh kira-kira dua jam selepas seorang peniaga wanita membuat laporan polis.

“Suspek dikatakan baru kali pertama melakukan aktiviti itu dengan menyamar sebagai salah seorang jemaah sebelum bertindak mencuri beg mangsa yang turut hadir berjemaah di masjid yang sama.

“Mangsa yang berumur 30-an menyedari kehilangan beg dan barangan peribadinya selepas selesai menunaikan solat subuh dan segera bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurut Mohd Haki, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila kehilangan beg miliknya yang mengandungi telefon bimbit, pasport dan wang tunai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

-BERNAMA


Pengarang :