PUTRAJAYA, 5 Jun — Orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat beratur untuk memasuki perkarangan Kompleks Seri Perdana sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Anggota Jemaah Menteri pada Hari Raya pertama hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Ribuan hadir Rumah terbuka Aidilfitri PM dan Jemaah Menteri

PUTRAJAYA, 5 JUN: Ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan hari ini mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri yang mula dibuka pukul 10 pagi tadi.

Ini adalah majlis rumah terbuka Aidilfitri kedua Pakatan Harapan (PAKATAN) yang dipimpin Dr Mahathir setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba kira-kira pukul 12 tengah hari selepas menghadiri rumah terbuka Istana Negara.

PUTRAJAYA, 5 Jun — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seramai 50,000 tetamu dijangka menghadiri rumah terbuka hari ini dengan mereka mulai berkumpul seawal 8.30 pagi lagi di pintu masuk Seri Perdana untuk menghadiri majlis yang dijadual berlangsung sehingga 4.30 petang.

Selain kemudahan 1,150 parkir kereta berhampiran kawasan Seri Perdana, orang ramai dilihat turut hadir menggunakan perkhidmatan bas percuma yang disediakan di tiga lokasi iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra.

Selain disajikan pelbagai juadah hari raya, orang ramai juga berpeluang bersalaman dan bergambar bersama Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, selain anggota Kabinet.

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) mengambil juadah pada Majlis Ramah Mesra dan Santapan Raya bersama Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara hari ini.
Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan).
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antara anggota Jemaah Kabinet yang dijangka turut hadir meraikan tetamu termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga dijangka hadir.

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga, kiri) antara menteri kabinet yang hadir pada Majlis Ramah Mesra dan Santapan Raya bersama Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Istana Negara hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (dua, kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (dua, kanan).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

– BERNAMA


Pengarang :