Kerajaan membentangkan rang undang-undang bagi memberi perlindungan kepada penderma makanan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2019.
NASIONAL

Ribuan pengunjung banjiri rumah terbuka tanda perpaduan tinggi

YAN, 11 JUN: Kehadiran ribuan pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pakatan Harapan (PAKATAN) Kedah, malam tadi menunjukkan bahawa semangat perpaduan kaum ketika ini berada pada tahap tinggi.

Pengerusi PAKATAN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, sehubungan itu rakyat perlu meneruskan semangat perpaduan seumpama itu dengan tidak melayan dakyah pihak tertentu yang sering memainkan isu perkauman dan agama.

“Yang mai ini bukan orang Melayu Islam sahaja, ada dari kaum Cina, India, Siam dan pelbagai agama dan latar belakang, satu petanda bahawa semangat perpaduan berada pada tahap tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka berkenaan yang berlangsung di Guar Chempedak dekat sini.

Turut hadir pada majlis rumah terbuka yang dihadiri 7,000 hingga 8,000 orang itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Naib Presiden Amanah yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Mukhriz berkata, sekiranya rakyat terus layan dengan dakyah sedemikian ia akan memecah-belahkan perpaduan kaum yang tersedia ada dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Kalau kita layan (dakyah tersebut) sudah tentu tak boleh buat majlis (rumah terbuka) Aidilfitri ini. Kita nak rakyat sama meraikan semua perayaan yang kita raikan. Ada pihak tertentu cuba bakar semangat dengan isu ini untuk pecah-belahkan masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, beliau bagi pihak kerajaan negeri juga meminta maaf kepada rakyat di Kedah jika terdapat sebarang kekhilafan dan kekurangan dalam pentadbiran negeri setakat ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :