NASIONAL

Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan petunjuk baharu, dengan kebanyakan peniaga tidak memasuki pasaran disebabkan perkembangan luaran yang pelbagai.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1380/1410 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1420 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata para pelabur menanti sama ada Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping akan mencapai persefahaman sekurang-kurangnya bagi menghentikan perang perdagangan antara mereka untuk tempoh sementara di Sidang Kemuncak G20 di Jepun minggu ini.

Beliau berkata peserta pasaran yakin sekiranya Trump dan Xi gagal dalam rundingan perdagangan, maka Rizab Persekutuan AS akan digesa mengurangkan kadar faedah untuk mengelakkan kelembapan ekonomi yang lebih meluas disebabkan tarif lebih tinggi.

Sementara itu, AmBank Research berkata pasaran Malaysia terjejas dengan laporan apabila Perbendaharaan AS turut meletakkan Malaysia sebagai antara sembilan negara dalam senarai manipulator mata wangnya.

Negara lain ialah China, Jerman, Ireland, Itali, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam.

“Bagaimanapun kesan terhadap hasil bon dan ringgit agak bersifat sementara kerana persepsi Malaysia sebagai manipulator mata wang adalah tidak munasabah. Malaysia tidak menurunkan nilai mata wangnya secara sengaja bagi menyokong eksport negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” menurut firma itu dalam nota penyelidikan.

Ketika pasaran dibuka hari ini, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0579/0613 daripada 3.0555/0595 pada Isnin namun meningkat berbanding pound pada 5.2726/2769 daripada 5.2797/2864.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.8558/8596 daripada 3.8547/8588 semalam serta rendah berbanding euro kepada 4.7186/7224 daripada 4.7140/7202.

-BERNAMA


Pengarang :