NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi ini susulan kebimbangan terhadap perang perdagangan antara AS dan Mexico telah semakin mereda, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1600/1650 berbanding dolar AS daripada paras 4.1610/1650 pada Selasa.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Alfonso Esparza berkata dolar diniagakan tinggi selepas Washington mengantarakan perjanjian migrasi dengan negara jirannya Mexico yang mengelakkan pengenaan tarif ke atas barangan dari negara tersebut.

Susulan ketegangan dengan Mexico mereda, AS kini boleh menumpukan kepada pertelingkahan perdagangan AS-China.

“Rundingan antara kedua-dua kuasa utama dunia itu tidak menetapkan sebarang tarikh, dan dengan mesyuarat G20 di Jepun semakin hampir, peluang bagi pengumuman yang positif masih belum ada sebarang kepastian,” katanya.

Pada paras pembukaan, ringgit, bagaimanapun diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0503/0551 daripada 3.0484/0522 pada paras penutup Selasa, turun berbanding yen kepada 3.8334/8391 daripada 3.8283/8324 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7133/7194 daripada 4.7086/7148.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.2932/3000 daripada 5.2874/2941.

-BERNAMA


Pengarang :