NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong minat baharu daripada pelabur asing mengenai prospek ekonomi Malaysia.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1760/1880 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1800 semasa ditutup pada Isnin.

Peniaga berkata sentimen meningkat disebabkan kenyataan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melakukan lawatan kerja ke London dan menyatakan pelabur di United Kingdom (UK) yakin dengan potensi ekonomi Malaysia dan menunjukkan minat untuk melabur di negara ini.

“UK telah menjadi rakan dagangan dan pelaburan yang penting kepada Malaysia. Sentimen positif ini bukan sahaja dikongsi oleh UK tetapi pelabur global yang lain berikutan mereka perlu mencari lokasi lebih selamat untuk melabur disebabkan ketegangan perdagangan yang meningkat,” katanya.

Beliau berkata ketegangan perdagangan antara AS dan China mula memberi impak kepada pelbagai sektor terutamanya teknologi dan pembuatan dan Malaysia dapat meraih manfaat daripadanya.

Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijangka mengadakan pertemuan di Sidang Kemuncak G20 di Osaka pada 28 dan 29 Jun, dan penganalisis mengharapkan gencatan ke atas perang perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi itu.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang lain.

Ia tinggi berbanding pound kepada 5.2355/2421 daripada 5.2576/2635 semasa ditutup semalam, bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.6871/6925 daripada 4.6828/6866.

Unit tempatan rendah berbanding yen kepada 3.8471/8518 daripada 3.8448/8486 semalam dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0471/0506 daripada 3.0467/0493.

-BERNAMA


Pengarang :