NASIONAL

Ringgit kekal berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ringgit tidak berubah dengan memihak kepada pengukuhan berbanding dolar US pada pagi Selasa ekoran ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Mexico kini semakin reda, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1620/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1620/1650 pada penutupan Isnin.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Edward Moya berkata kedua-dua negara berjiran di Amerika Utara itu baru-baru ini mencapai persetujuan membabitkan imigresen yang mengelak AS daripada mengenakan tarif ke atas barangan Mexico.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Mexico akan menempatkan tambahan 6,000 anggota tentera di sempadan bagi menghalang penghijrahan haram ke AS, dengan permohonan untuk suaka diproses di dalam negara.

Trump mendakwa dokumen itu telah ditandatangani, namun Menteri Luar Mexico menafikannya.

“Buat masa sekarang, pasaran tidak bimbang mengenai hubungan Mexico dan Amerika Syarikat, dan mengalihkan semula tumpuan kepada perang perdagangan semasa China-Amerika Syarikat,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit didagang kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0469/0518 daripada 3.0451/0477 pada penutupan Isnin , ringgit rendah berbanding yen kepada 3.8352/8400 daripada 3.8331/8366 dan rendah berbanding euro kepada 4.7085/7147 daripada 4.7047/7098.

Berbanding pound, unit tempatan lebih tinggi kepada 5.2799/2854 berbanding 5.2812/2866 pada penutupan Isnin.

-BERNAMA


Pengarang :