NASIONAL

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi Isnin, diperkukuh susulan ketegangan antara AS dan Mexico kembali reda, walaupun jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan kadar faedah.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1535/1585 berbanding dolar AS daripada 4.1570/1620 pada penutupan Jumaat.

Seorang peniaga berkata perjanjian yang dicapai pada saat akhir antara AS dan Mexico minggu lepas bagi mengelakkan tarif, memulihkan keyakinan pasaran terhadap mata wang pasaran pesat membangun, termasuk ringgit.

Selain itu, data pekerjaan AS yang lemah bagi Mei 2019, meningkatkan lagi jangkaan pengurangan kadar faedah pada separuh kedua 2019.

“Faktor luaran ini membantu meningkatkan prestasi ringgit,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit bagaimanapun didagangkan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali pound.

Ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.0433/0481 daripada 3.0396/0444 pada penutupan Jumaat lepas, lebih rendah berbanding yen kepada 3.8288/8345 daripada 3.8275/8331 dan lemah berbanding euro kepada 4.6993/7066 daripada 4.6787/6860.

Berbanding pound, unit tempatan meningkat sedikit pada 5.2828/2896 daripada 5.2844/2924 pada penutupan Jumaat lalu.

-BERNAMA


Pengarang :