EKONOMINASIONAL

Ringgit menyusut berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selari dengan kemerosotan urus niaga dicatatkan oleh kebanyakan mata wang Asia susulan pelabur mengambil pendirian berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat pada minggu ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan jatuh ke paras 4.1800/1830 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1800 pada Isnin.

Penganalisis penyelidikan FXTM Lukman Otunuga berkata dolar akan mengukuh dan mencatatkan kenaikan ketara, sekiranya Fed mengecewakan harapan atau mencetuskan kekalutan dengan tidak menawarkan sebarang petunjuk mengenai tindakan akan datang yang akan diambil di sebalik halangan global yang berterusan.

“Walaupun kadar faedah AS dijangka dibiarkan tidak berubah pada bulan ini, pelabur tidak perlu terburu-buru melabelkan mesyuarat dasar ini sebagai kurang penting.

“Pasaran akan memantau dengan dekat mesyuarat ini bagi pengesahan pengurangan kadar faedah yang akan berlaku seawal bulan depan,” katanya.

Semasa urus niaga ditutup hari ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik kepada 5.2355/2409 berbanding pound daripada 5.2576/2635 pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 4.6745/6795 daripada 4.6828/6866.

Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0471/0497 daripada 3.0467/0493 dan juga berbanding yen kepada 3.8596/8635 daripada 3.8448/8486 sebelumnya. – BERNAMA


Pengarang :