PBTSELANGOR

Rumah terbuka Aidilfitri MBPJ dihadiri lebih 5,000 tetamu

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 20 JUN: Kemeriahan Syawal diteruskan dengan majlis rumah terbuka anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Stadium Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Majlis yang bermula jam 2 petang itu menerima penyertaan menggalakkan dengan kehadiran lebih 5,000 hadirin yang terdiri daripada kakitangan MBPJ dan penduduk setempat pelbagai kaum serta lapisan umur.

Rumah terbuka itu bertambah seri dengan kehadiran EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pelbagai juadah termasuk menu tradisional yang sinonim dengan perayaan Aidilfitri turut disediakan pada majlis yang berlangsung sehingga jam 4 petang.

Pada majlis sama, 10 pemenang bazar Ramadan 2019 terbaik menerima wang tunai RM500 yang dipilih berdasarkan pematuhan syarat lesen yang ditetapkan pihak majlis.

Para pemenang juga berpeluang memilih petak bazar Ramadan pada tahun hadapan tanpa melalui peringkat saringan sekiranya mereka membuat permohonan untuk berniaga.


Pengarang :