NASIONAL

Rumah terbuka Aidilfitri PM di Seri Perdana pada hari raya pertama

PUTRAJAYA, 3 Jun : Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota jemaah menteri akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana di sini, pada hari raya pertama.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata majlis akan berlangsung dari 10 pagi hingga 4.30 petang.

“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dengan memakai pakaian yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Bagi memudahkan orang ramai untuk menghadiri majlis tersebut, perkhidmatan bas percuma bermula 9.30 pagi akan disediakan di tiga lokasi iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Seri Perdana, menurut JPM.

“Orang ramai boleh meninggalkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut untuk menaiki bas yang disediakan dan dinasihatkan agar menggunakan hentian bas yang sama untuk pergi dan balik,” katanya.

Lebih 50,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan majlis tersebut. -BERNAMA


Pengarang :