BERITA UTAMASELANGOR

Rumah Terbuka PAKATAN bukti keharmonian kaum masih kukuh

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 29 JUN: Kehadiran ribuan pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pada Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PAKATAN) Peringkat Negeri Selangor membuktikan semangat keharmonian antara kaum di negeri ini masih kekal utuh.

Pengerusi Pimpinan PAKATAN Selangor, Amirudin Shari berkata, rumah terbuka sememangnya menjadi amalan tradisi yang subur setiap kali musim perayaan di seluruh negara, khususnya di Selangor.

“Kita dapat lihat hubungan akrab ini terjalin dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa dan kelompok melalui aktiviti seperti rumah terbuka ini.

“Kami (PAKATAN) sama ada di peringkat pusat atau negeri akan bersama memastikan bahawa muafakat ini dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa di saat kita sedang berusaha memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis rumah terbuka berkenaan di Padang Awam Batu Caves, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis rumah terbuka yang dihadiri lebih 7,000 orang itu ialah Ketua Umum PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PAKATAN merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antara pimpinan lain yang turut hadir ialah Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah; EXCO Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman serta EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Rahim.

Dalam majlis sama, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar merangkap ADN Sungai Tua menyeru rakyat supaya dapat meneruskan tekad bersama kerajaan untuk memastikan pelan dan perjalanan ekonomi negara berada pada landasan terbaik.

Katanya, seruan itu bertepatan dengan hasrat memastikan Malaysia kembali menggapai negara gemilang yang suatu ketika dahulu pernah dianggap sebagai ‘Harimau Asia’ terpenting.

“Tidak ketinggalan juga kita akan cuba untuk mengolah semula perkhidmatan perbekalan dan perkongsian kepada rakyat.

“Kepimpinan negeri dan pusat senada dalam polisi dan dengan itu kita akan dapat mengolah persetujuan serta perancangan keputusan bersama,” katanya.


Pengarang :