EKONOMINASIONAL

Saham KL dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada pagi ini dengan sentimen berhati-hati terus ketara di pasaran dan berpotensi menjejaskan prospek pasaran bagi jangka panjang, demikian menurut satu nota penyelidikan.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.5 mata kepada 1,664.04 daripada 1,6666.83 pada petang Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 5.71 mata kepada 1,660.83.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 129 berbanding 97 manakala 206 kaunter tidak berubah, 1,446 tidak diniagakan dan 21 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 169.35 juta bernilai RM106.03 juta.

Dalam pada itu, firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata di sebalik rasa optimis terhadap pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China serta kebimbangan geopolitik yang dilihat kian reda, ekonomi global termasuk ekonomi Malaysia masih menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan yang boleh menjejaskan pertumbuhan pendapatan korporat.

“Prospek dalam masa terdekat ini kurang memberangsangkan berikutan kekurangan pemangkin pasaran walaupun saham berharga murah dan tinggi mencatat kemajuan, semalam.

“Atas alasan itu, kami berpendapat bahawa aliran peningkatan dalam masa terdekat ini akan dipengaruhi oleh penyusutan aktiviti jualan apabila pemain runcit bertindak mendapatkan keuntungan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM8.94, Public Bank rugi 14 sen kepada RM22.96, Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM8.34 manakala IHH untung tiga sen kepada RM5.67.

Bagi saham didagangkan aktif, Iskandar Waterfront naik satu sen kepada RM1.11, Mestron rugi setengah sen kepada 15.5 sen manakala Ekovest tidak berubah pada 84.5 sen.

Indeks FBM Emas pula susut 3.78 mata kepada 11,694.93, Indeks FBMT 100 turun 7.41 mata kepada 11,545.79 namun Indeks Syariah FBM Emas menokok 1.58 mata kepada 12,010.24.

FBM 70 naik 31.18 mata kepada 14,372.06 manakala FBM Ace meningkat 27.79 mata kepada 4,351.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 9.35 mata kepada 16,668.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.05 mata kepada 160.22 dan Indeks Perladangan berkurangan 38.58 mata kepada 7,015.91. – BERNAMA


Pengarang :