NASIONAL

Saifuddin terkejut, sedih dengan pemergian tiba-tiba Morsi

PUTRAJAYA, 18 JUN: Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah terkejut dan berasa amat sedih dengan pemergian secara tiba-tiba bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi selepas beliau rebah dalam mahkamah pada Isnin (17 Jun).

“Saya ingin memanjangkan perasaan sedih yang amat mendalam kepada keluarga beliau (Morsi) dan rakyat Mesir. Sumbangan Morsi kepada keadilan dan demokrasi di Mesir akan dikenang sampai bila-bila. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan memasukkannya ke Jannah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata sepanjang tempoh pemerintahannya sebagai presiden, Morsi menunjukkan keberanian dan ketabahan moral dalam cubaannya untuk membawa Mesir keluar daripada pemerintahan kuku besi dan mewujudkan demokrasi sebenar di sana.

Morsi adalah presiden pertama Mesir yang dilantik secara demokrasi ekoran revolusi Arab Spring pada 2011.

Morsi menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah sejak beliau digulingkan dan dipenjarakan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2013, yang dipimpin presiden sekarang Abdel-Fattah al-Sisi.

Morsi, 67, meninggal dunia ketika menghadapi perbicaraan atas tuduhan “mengintip”. Beliau telah meminta untuk bercakap pada sesi itu sebelum rebah dan meninggal dunia. – BERNAMA


Pengarang :