Selangorkini
SELANGOR

Sanggup tangguh hasrat masuk ke universiti demi tunaikan ibadah haji

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 JUN : Seorang remaja berusia 18 tahun sanggup menangguhkan hasratnya untuk mendaftar masuk ke universiti demi menunaikan ibadah haji terlebih dahulu.

Beliau, Nurul Fadiatul Husna Khairul Anuar berkata, peluang keemasan itu amat dinantinya sejak kecil lagi.

Katanya, sebelum ini dia sudahpun menerima tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang perguruan di Kolej Universiti Islam Malaysia.

“Alhamdulillah saya diberi kelonggaran dan boleh membuat pendaftaran untuk belajar selepas menunaikan haji nanti,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nurul Fadiatul diantara 600 bakal jemaah haji Daerah Gombak turut menerima Insentif Haji Muassasah Selangor Pemerbadanan Menteri Besar 2019 di Masjid Al Amaniah, di sini, hari ini.

Dia yang berasal dari Ulu Yam Baru itu turut tidak menafikan apabila ada rakan-rakan yang hairan kerana beliau menerima tawaran ibadah haji pada usia masih muda.

“Alhamdulillah, saya berpeluang ke tanah suci kali ini kerana ayah saya sudah membuat pendaftaran sejak awal lagi,” katanya.

Dia turut melahirkan rasa gembira apabila memberitahu akan menunaikan ibadah haji bersama kesemua ahli keluarganya.

Sementara itu kakaknya, Nurul Afifatuliyana, 22 berkata, dia juga masih terkejut kerana berpeluang untuk ke Mekah pada tahun ini.

“Kami ingatkan mungkin 2021 baru dapat tawaran, tapi tak sangka secepat ini, walaupun begitu saya sekeluarga sudah awal-awal lagi bersedia.

“Semoga kami sekeluarga dapat menunaikan ibadah haji dengan sebaiknya, walaupun rasa berdebar saya tetap rasa bersemangat,” katanya.


Pengarang :