NASIONAL

Sarjan polis wanita dipenjara dua hari, denda RM20,000

ALOR SETAR, 18 JUN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM20,000 terhadap seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan selepas didapati bersalah atas dua tuduhan meminta serta menerima rasuah berjumlah RM2,000 pada 2015.

Bagi hukuman penjara itu, tertuduh Afifah Zainal Abidin, 30, dikenakan hukuman penjara sehari bagi setiap kesalahan dan mahkamah menetapkan ia dijalankan secara serentak bermula hari ini.

Hakim Azman Abu Hassan dalam keputusan penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pembelaan tidak dapat membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan setelah meneliti keterangan dan hujah yang dibentangkan kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, Afifah dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan itu dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dia juga boleh dipenjara lapan bulan untuk setiap pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Afifah didakwa meminta suapan itu daripada Ahmad Termizi Mohd Izham menerusi panggilan telefon pada jam 11.40 pagi, 13 Dis 2015 semasa mangsa berada dalam bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar.

Semasa kejadian, tertuduh bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Suapan berkenaan sebagai dorongan supaya tertuduh menangguhkan proses pertuduhan Ahmad Termizi di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Bagi pertuduhan kedua pula, Afifah dituduh menerima wang suapan itu daripada Ahmad Termizi di sebuah restoran di Jalan Pegawai di sini pada jam 12.10 tengah hari, 15 Dis 2015.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 21(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah Syahrul Khuzaini Amiruddin. – BERNAMA


Pengarang :