NASIONAL

Sedia beri kerjasama kepada SPRM isu ‘land swap’

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata kementerian yang diterajuinya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Beliau berkata SPRM bebas memanggil siapa sahaja daripada kementerian itu untuk membantu siasatan.

“Kalau SPRM minta kerjasama untuk kita bagi maklumat tambahan kita akan bekerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri, di sini malam ini.

Mohamad berkata kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor memberi keterangan selama tujuh jam kepada SPRM di Putrajaya semalam berhubung isu berkenaan.

Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997. – BERNAMA


Pengarang :